Karnival 3K terus subur, penghubung Kerajaan Negeri dan rakyat | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Norway

Wartawan

Lizawati Madfa

Karnival 3K terus subur, penghubung Kerajaan Negeri dan rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU SELANGOR, 20 MEI: Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) meneruskan penjelajahannya ke Kampung Sungai Buaya di Hulu Selangor, bermula semalam hingga Ahad ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ia merupakan persinggahan keempat Jelajah 3K yang terdahulu berkampung di daerah Hulu Langat, Klang dan Sepang.


Katanya, program memasuki tahun ketiga itu dilihat menerima sambutan baik dalam kalangan rakyat Selangor.

“Rakyat kini boleh berinteraksi secara langsung dengan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang terlibat dalam program ini.

“Jelajah 3K turut diiktiraf sebagai salah satu rantai penghubung Kerajaan Negeri dengan rakyat Selangor di setiap daerah.

“Diharap pengiktirafan ini juga dapat mendorong penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor,” katanya di hadapan lebih 500 hadirin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah 3K di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim, Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Mohd Na’im Mokhtar dan Penyelaras DUN Batang Kali, Mohamad Nazar Mohamed Yakin.

Pada tahun ini, Jelajah 3K membuka tirai di Hulu Langat di Masjid Ubudiyyah, Lembah Jaya pada Februari lalu, diikuti Klang (Masjid At-Taqwa, Bukit Kapar) pada Mac dan Sepang (Masjid Al Muhsinin, Kampung Kundang) pada April lalu.

Selepas Hulu Selangor, Jelajah 3K akan ke Kuala Langat pada Julai nanti di Masjid Jenjarom, Teluk Datok, diikuti Sabak Bernam pada Ogos di Masjid Ar-Rahmaniah, Sungai Air Tawar, Petaling pada September (Masjid Jamek Sungai Plong), Gombak (Masjid Amaniah, Batu Caves) dan Kuala Selangor (Masjid Nurul Iman, Kampung Bukit Cherakah) masing-masing pada Oktober nanti.

=EZY=

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next