Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN hargai peranan & sumbangan besar media alternatif

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 MEI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memberi penghargaan tertinggi terhadap peranan media alternatif apabila berjaya menyampaikan maklumat dan memberikan kesedaran rakyat.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, maklumat yang disalurkan kepada rakyat itu banyak membantu menyedarkan rakyat ekoran kekangan kawalan media oleh kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Saya juga ingin memberi penghargaan tertinggi kepada media, terutamanya media online dan pengamal media sosial, yang berjaya menembusi kawalan media oleh kerajaan, membawa maklumat terkini kepada rakyat.

“Usaha anda semua sejak Reformasi akan sentiasa dikenang dan dihargai. Dengan keberanian dan profesionalisme wartawan dan pengamal media sosial, landskap politik Malaysia berjaya diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-12 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Wan Azizah 1Selain peranan besar pihak media, Dr Wan Azizah turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha dengan gigih sehingga ada yang sanggup berkorban.

“Sokongan padu warga Malaysia kepada Agenda Reformasi dan KEADILAN untuk semua dizahirkan dengan kemenangan 52 peratus undi popular pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :