Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

KEADILAN maklum penjelasan MB demi kestabilan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 MEI: KEADILAN mengambil maklum penjelasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung situasi di Negeri Selangor dalam pertemuan Biro Politik KEADILAN semalam.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penjelasan dikemukakan Timbalam Presiden KEADILAN itu mengambil kira persetujuan kesemua 13 Ahli Dewan Negeri (ADN) termasuk tiga Exco Kerajaan Negeri dari PAS.

Ia begi terus menyokong dasar bersama Kerajaan Selangor berasaskan Buku Jingga serta keyakinan terhadap kepimpinan Mohamed Azmin selaku Dato’ Menteri Besar.

“Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU-13.

“Kita yakin terhadap kepimpinan Mohamed Azmin untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.

Keputusan itu sekaligus menolak dakwaan bahawa tiga Exco PAS bakal meletakkan jawatan selepas Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan tahaluf siyasi bersama KEADILAN.

 

Berikut adalah kenyataan media penuh:

Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.

Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Azmin Ali.

Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.

Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.

 

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN


Pengarang :