Selangorkini
NASIONAL

Lihat, hidu & rasa pastikan kurma selamat dimakan

KUALA LUMPUR 27 MEI: Pengguna disaran membaca label dan mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati kurma yang dibeli bagi memastikan ia tidak tercemar dan selamat untuk dimakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan mengambil serius berita yang tersebar di laman media sosial berkaitan kurma tercemar dengan lipas dan kumbang.

Katanya, pihaknya meningkatkan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan dan pintu masuk bagi memastikan makanan berkenaan selamat.

“Kementerian ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak serta kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan dibeli bersih dan selamat.

“Pengguna juga disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelak mengambil makanan rosak atau tercemar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Katanya, pengguna juga boleh menghubungi kementerian menerusi laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq bagi aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

=EZY=


Pengarang :