BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Alu-alukan kerjasama polis, PBT banteras pusat hiburan salah guna lesen

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MEI: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha membanteras aktiviti tidak sihat di premis pusat hiburan di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama semua pihak terutama polis amat penting dalam perkara itu demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di negeri berkenaan.

“Kerajaan Negeri memang berpendirian sebarang aktiviti tidak sihat bukan sahaja perlu dihentikan tetapi perlu dikuatkuasakan semua pihak.

“Oleh kerana itu pembabitan pihak polis penting kerana bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam perkara berkaitan amat terhad,” katanya kepada median di sini, semalam.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang menyarankan Kerajaan Negeri dan PBT agar menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga kerana terlalu banyak berlaku salah guna lesen untuk tujuan perjudian.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan mengkaji dari sudut undang-undang berhubung perkara itu bagi tindakan selanjutnya.

“Kita akan melihat di bawah peruntukan dan undang-undang berkaitan serta pihak mana yang mengeluarkan lesen juga terbabit dengan penguatkuasaan.

“Apa yang penting mesti ada satu kerjasama daripada semua pihak iaitu antara Kerajaan Negeri, PBT dan polis,” katanya.

=EZY=


Pengarang :