SELANGOR

MBPJ-Bank Rakyat agih makanan percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Bank Rakyat akan mengagihkan makanan percuma kepada penduduk miskin menerusi ‘mobile soup kitchen’ pada setiap Sabtu atau Ahad bermula minggu ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, menerusi program ‘Meals on Wheels’, pihaknya mengubah suai sebuah lori muatan lima tan menjadi trak makanan bergerak di bawah projek ‘PJ City Food Bank’.

Katanya, program makanan percuma itu akan diagihkan kepada kawasan penduduk miskin bandar iaitu perumahan kos rendah di Petaling Jaya khususnya PJS, Lembah Subang dan Kota Damansara.

DSC_3076“Kita juga akan memberi fokus kepada kawasan flet Desa Mentari, Taman Medan, Kampung Lindungan, Taman Putra Damai, PPR Seksyen 8 Kota Damansara dan Damansara Damai.

“Trak makanan itu akan menyalurkan makanan berpek dari Pusat Operasi ‘PJ City Food Bank’ di Seksyen 8 ke kawasan tersebut pada setiap hari Sabtu atau Ahad setiap minggu bermula 7 malam,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MBPJ prihatin terhadap golongan pelajar dari golongan miskin bandar dan berhasrat membantu golongan ini melalui pendedahan dan galakan kepada pengambilan sarapan pagi.

Sehubungan itu, trak makanan bergerak akan turun ke 12 sekolah terpilih bagi mengagihkan sarapan pagi percuma kepada kira-kira 30,000 murid menerusi program ‘Sarapan Pagi Percuma Untuk Kanak-kanak Sekolah’ bermula pukul 7 pagi.

“Kami akan turun ke 12 sekolah-sekolah terpilih pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat pada setiap minggu bermula minggu ini,” katanya.

 


Pengarang :