Selangorkini
SELANGOR

MBSA keluar 1,790 permit bazar Ramadan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI: Sekurang-kurangnya 1,790 permit bazar Ramadan dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kepada penjaja yang bakal berniaga tahun ini.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA turut mengadakan sesi taklimat bazar mulai 15 hingga hari ini (18 Mei 2017).

Katanya, ia bagi memastikan penjaja mematuhi syarat dan peraturan semasa menjalankan perniagaan.

“Peniaga perlu memelihara tahap kebersihan iaitu aspek penyediaan juadah makanan dan minuman bermula daripada proses membeli bahan mentah, penyediaannya dan semasa juadah dijual.

IMG_7734“MBSA akan membuat pemantauan setiap hari menerusi Jabatan Pelesenan dan Jabatan Kesihatan Persekitaran di kesemua tapak bazar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Taklimat Bazar Ramadan dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan 2017, di Dewan Teratai, di sini, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, terdapat 35 lokasi bazar Ramadan disediakan MBSA antaranya di Seksyen 6, 7, 8, 13, 24, 25 dan U3.

Katanya, kadar bayaran permit bagi jenis jualan makanan dan minuman adalah di antara RM257 hingga RM347, mengikut kategori berbakar dan tidak berbakar.

“Manakala, bagi tapak persatuan atau swasta, kadar bayaran dikenakan adalah sebanyak RM167,” katanya.

Taklimat bazar turut mendapat kerjasama syarikat pengeluar makanan seperti produk Adabi, Unilever, Nextle, Indomee dan Mamee.


Pengarang :