Selangorkini
NASIONAL

MSM akur kekalkan harga gula

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Pengeluar gula bertapis terbesar negara, MSM Malaysia Holdings Bhd menghormati keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan harga gula bertapis.

Peneraju pasaran itu dengan penguasaan pasaran tempatan sebanyak 60 peratus berkata, gula diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No.2, Peraturan 2017).

“Orang ramai perlu yakin MSM komited menyediakan bekalan gula mencukupi untuk negara, terutama sempena sambutan perayaan Aidilfitri akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat itu berkata, walaupun terdapat penurunan beransur-ansur harga gula mentah antarabangsa, namun komoditi gula global beroperasi secara sukar dalam persekitaran pasaran tidak menentu.

“Kami terus berbincang dengan kerajaan dan sentiasa memaklumkan kepada mereka berkenaan perkembangan terkini pasaran gula global dan berharap mencapai hasil positif ,” kata MSM.

MSM ialah anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd dan produk utamanya, Gula Prai adalah jenama gula premium di Malaysia.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :