Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Muafakat pentadbiran Selangor, lonjak kestabilan ekonomi negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 9 MEI : Amalan pentadbiran telus berlandaskan prinsip dan budaya kestabilan politik matang melonjakkan kecemerlangan Selangor untuk berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh dua penggal Pakatan menerajui tampuk pimpinan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, laporan Malaysian Institute Of Economy Research (MIER) mengesahkan kestabilan dan penyatuan pentadbiran negeri menjadikan Selangor kekal sebagai negeri membangun kini.

“Kejayaan ini terhasil daripada perpaduan rakyat dan kestabilan politik di Selangor seperti dilaporkan MIER yang turut mendedahkan kekuatan Selangor untuk terus mencapai kestabilan dan penyatuan dalam pentadbiran.

“Pentadbiran Selangor kini mengamalkan pengurusan yang cekal, berpandangangan jauh dalam melaksanakan program berkebajikan kepada rakyat seluruh negeri.

Azmin MB“Tiga paksi utama inilah melonjakkan Selangor bukan sekadar di peringkat nasional, tetapi di peringkat serantau kerana keyakinan umum bahawa Selangor mempunyai keupayaan untuk kekal menjamin kestabilan politik, perpaduan dan kestabilan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis di Shah Alam Convention Centre, hari ini.

MIER sebelum turut mendedahkan, Selangor dijangka pendapatan per kapita menepati definisi ‘negara maju’ dengan mengandaikan Senario A (Model Ekonomi Baharu) dan Senario C (berdasarkan prestasi pertumbuhan historikal Selangor).

Malah, bersandarkan dua senario yang sama, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor diunjurkan berkembang masing-masing pada kadar 6.8 peratus dan 6.5 peratus secara purata di antara 2013 dan 2023.

Sementara itu, merujuk kepada perkembangan situasi politik terkini di samping serangan politik berterusan pentadbiran Putrajaya terhadap Kerajaan Negeri, Mohamed Azmin berkata, perkara itu tidak membataskan kestabilan ekonomi negeri.

Sebaliknya Mohamed Azmin berkata, komitmen untuk memacu pembangunan negeri terus dilaksanakan berpandukan amanah dan mandat rakyat pada pilihanraya lalu.

“Tidak ada yang perlu dibimbangkan kerana kita kekal utuh dan stabil. Pentadbiran negeri kekal konsisten untuk membangunkan negeri kerana inilah yang diamanahkan rakyat kepada Kerajaan Negeri pada pilihan raya lalu.

“Sudah tentunya ia menjadi tangungjawab moral kepada kami untuk bekerjasama secara berpasukan bagi memegang mandat ini sehingga pilihanraya umum akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :