SELANGOR

PAC puas hati status Jambatan Ketiga Klang

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) secara keseluruhan berpuas hati dengan perkembangan terkini pembinaan Jambatan Ketiga Klang yang sudah dibuka kepada orang ramai.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, pihaknya sudah mendengar taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung pembinaan jambatan dengan kos RM200 juta itu yang ditimbulkan Laporan Ketua Audit Negeri, sebelum ini.

“Kita ambil maklum teguran berkenaan dan kita turun serta siasat sendiri apa sebenarnya berlaku dan selepas mendengar taklimat kita berpuas hati walau terdapat sedikit kelewatan pembinaan jambatan ini.

“Yang penting ia sudah siap dan kita dapati hari ini ramai pengguna kerana ia menjimatkan masa serta mengurangkan gangguan trafik di Klang,” katanya dalam sidang media.

Terdahulu, beliau dan Ahli Jawatankuasa PAC lain termasuk Rodziah Ismail, Ng Tien Cheen dan Dr Abdul Rani Othman mengadakan lawatan turun padang ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, yang turut disertai wakil Jabatan Audit.

Semalam, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib menyempurnakan Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang.

Zaidy berkata, skop kerja utama projek itu meliputi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan dan ‘segmental box girder’ serta kerja pelebaran jalan dan menaik taraf sistem perparitan.

“Kos keseluruhan pembinaan jambatan berjumlah RM199,156,069.39 dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri menggunakan rezab hasil penjimatan dan perbelanjaan berhemah diamalkan sejak 2008,” katanya.


Pengarang :