Selangorkini
NASIONAL

Pakatan gesa Pandikar baiki sistem Parlimen

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin digesa memperbaiki segera sistem Parlimen Malaysia.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu termasuk bersidang sekurang-kurangnya 80 hari setahun selain mewujudkan sistem jawatankuasa dasar Parlimen untuk meneliti rang undang-undang dan dasar-dasar.

Katanya, Parlimen Malaysia tidak mempunyai sistem jawatankuasa dasar untuk menyemak dan membahas cadangan rang undang-undang daripada Eksekutif sebelum dibahas di Dewan utama oleh semua ahli.

“Tahun ini, Dewan Rakyat dijadualkan bersidang selama 57 hari sahaja. Sedangkan Parlimen di Australia dan United Kingdom, sebagai rakan negara Komanwel, bersidang sekurang-kurangnya 150 hari setahun.

“Sistem ini tidak munasabah. Ahli-ahli parlimen sekarang tidak diberikan cukup masa untuk mengkaji secara mendalam dan berunding dengan pihak-pihak berkaitan atau stakeholders,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin mendakwa sistem terbabit seolah-olah mempermainkan undang-undang yang digubal dalam negara.

“Untuk Parlimen berfungsi secara berkesan, sistem jawatankuasa amat diperlukan. Sultan Selangor memuji Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh, atas usaha beliau untuk mewajibkan Ketua Pembangkang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

“Ini selaras dengan amalan negara-negara Komanwel, dan ia bertujuan memastikan wujud keadilan dan keseimbangan. Dengan ini, PAC di Parlimen haruslah dipengerusikan oleh seorang ahli parlimen pembangkang,” katanya.


Pengarang :