Peningkatan yuran PIBG saban tahun membebankan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Peningkatan yuran PIBG saban tahun membebankan

OLEH: Dato’ Seri Dr. Santhara

Saya telah menerima beberapa aduan dan rungutan daripada ibu bapa di Segamat, Johor yang memaklumkan terpaksa membayar duit sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan jumlah yang tinggi.

Kadar sumbangan (yang sebenarnya bukan derma tetapi wajib) amat tinggi jumlahnya apabila mencecah RM60 hingga RM150 dan jumlah ini telah diluluskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor.


Semua sedia maklum bahawa PIBG berperanan untuk menjaga kebajikan murid dan ibu bapa tetapi jika kadar yurannya yang terlalu tinggi, ianya akan menimbulkan kemusykilan.

Bertambah malang apabila hampir setiap kali mesyuarat agung PIBG diadakan, terdapat cadangan untuk menaikkan yuran yang dipersetujui oleh jawatankuasanya yang terdiri daripada golongan profesional berpendapatan tinggi.

Tidakkah mereka fikir, tidak semua keluarga khususnya di Segamat orang yang berpendapatan tinggi kerana ada yang menjadi penoreh getah dengan pendapatan bulanan tidak tetap hanya sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.

Bagaimana keluarga ini hendak menyara kehidupan seharian? Dengan kos sara hidup saban hari yang semakin tinggi di bawah pemerintahan Umno BN.

Ini belum lagi surat sumbangan bagi lain-lain program yang dirancang oleh pihak sekolah, ibu bapa terpaksa lagi menghulurkan sumbangan.

Yang menjadi masalah apabila di dalam laporan kewangan PIBG yang kerapkali dibentangkan ialah perbelanjaan untuk jamuan, cenderahati dan sebagainya yang mencecah ribuan ringgit.

Tidak terfikirkah apabila terdapat pelajar-pelajar (kurang berkemampuan/miskin) yang tidak dapat atau lewat membayar duit sumbangan, mereka akan berasa malu kepada kawan-kawan mereka yang lain.

Malah terdapat ibu bapa yang terpaksa untuk meminjam wang daripada jiran atau saudara-mara semata-mata untuk sumbangan.

Saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan satu garis panduan kepada pihak PIBG agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan derma ini dengan menetapkan satu kadar siling yang munasabah.

Begitu juga dengan jenis-jenis perbelanjaan yang boleh dibenarkan supaya tidak dimanipulasi oleh pihak ahli jawatankuasa dan tidak dibazirkan untuk tujuan yang tidak membawa manfaat kepada pelajar dan sekolah.

 

* Dato’ Seri Dr. Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional
Parti KEADILAN Rakyat

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next