SELANGOR

Perkhidmatan Wifi Percuma Smart Selangor diperluas 4,100 hotspot

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 24 MEI: Kerajaan Negeri mensasarkan untuk meluaskan pemasangan perkhidmatan Wifi Percuma Smart Selangor kepada 4,100 hotspot dengan liputan lebih luas ke semua daerah dan DUN tahun ini.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemasangan ke semua daerah dan DUN itu dilaksanakan dengan kebolehcapaian dan kelajuan lebih tinggi.

“Kawasan dipilih berpendudukan padat, kawasan tumpuan orang ramai, pusat membeli belah dan kawasan tumpuan penuntut IPT di negeri ini.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar supaya ia dapat menjadi saluran komunikasi efektif antara rakyat dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran WiFi #SmartSelangor 2017 DUN Kajang di Apartment Sri Ros, Kajang, di sini hari ini.

Wifi #SmartSelangor merupakan perkhifmatan Wifi percuma yang disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan orang awam di lebih 3,000 hotspot seluruh negeri.

Inisiatif peduli rakyat ini bertujuan merapatkan jurang digital serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

=EZY=


Pengarang :