RFINGK! RFINGK! RFINGK! | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Nurul Farina Nazlan

RFINGK! RFINGK! RFINGK!

OLEH AZRIN FAUZI

Mimpi berderai jatuh ke lantai tatkala telinga disiat-siat bunyi geser pisau diasah. Lantas engkau bangkit kerana resah. Mata engkau yang kini celik mula diisi gelisah. Engkau hunus pandangan yang masih kabur, masih tumpul itu ke dinding, ke dinding, ke dinding, ke pintu. Segalanya hitam. Segalanya pekat berbalam. Tetapi engkau yakin bunyi itu datang dari situ –dari balik pintu. (Dari ruang tamu?)

Rfingk!… Rfingk!… Rfingk!…


Engkau cuba biasakan diri dengan bunyi itu, sedaya boleh. Bunyi yang engkau anggap biasa tetapi hadir pada waktu luar biasa. Dan bilamana hadir pada waktu luar biasa, serta-merta bunyi itu juga menjadi luar biasa. Apa yang orang biasa panggil: aneh.

Pintu dikuak perlahan dan bunyi itu berebut-rebut merempuh masuk ke dalam bilik pula. Engkau membiarkan. Telinga engkau masih mampu menangkap tik tok jam. Tepat 4:00 pagi. Seperti telah diduga. Kerana sudah hampir empat bulan bunyi itu bersipongang di dalam apartmen ini pada waktu-waktu begini. Engkau tidak pasti dengan jiran-jiran: apa mereka juga terjaga dek bunyi ini? (Atau hanya engkau seorang?)

Rfingk!… Rfingk!… Rfingk!…

Engkau cuba mengalirkan resah dan gelisah dan entah apa-apa lagi ke dalam mangkuk tandas. Engkau tarik pam puas-puas. Dan segalanya hilang. Segalanya kembali jernih. Emosi engkau tidak lagi berkocak. Dan bunyi tadi semakin perlahan, semakin per-la-han, semakin p-e-r-l-a-h-a-n antara sela-sela tik tok jam.

Lantas engkau rebahkan tubuh di atas sofa empuk yang sedari tadi tidak dapat ditahan-tahan sabarnya lagi untuk memeluk engkau. Barangkali tidur di ruang tamu akan buat lena engkau bertambah nyenyak. Tetapi kantuk tidak datang menghenyak. Engkau capai alat kawalan tivi dan hidupkan skrin hitam di hadapan. Sosok Jins Shamsuddin berjalan keluar dari gerbang Penjara Pudu. Wah, Di-Belakang Tabir! Dan mata yang celik melompat-lompat dari babak ke babak sehinggalah mata itu mengambil kata putus untuk lelap. Tetapi itu tidak berlaku bilamana bunyi geser pisau diasah itu datang lagi mengamuk dengan bilah-bilah tajamnya.

Rfingk!… Rfingk!… Rfingk!…

Engkau bingkas bangkit. Dengan dengusan kecil, engkau nekad mahu buru bunyi itu. Derap langkah laju ke dapur. Habis engkau punggah segala laci, kabinet, peti sejuk dan entah apa-apa lagi. Tetapi bunyi itu licik bersembunyi. Engkau langsung tidak menemui puncanya. Dan lebih membingungkan, bilah-bilah pisau engkau di dapur juga tiada. Habis hilang kesemuanya!

Gril pintu tidak dapat dibuka kerana engkau juga tidak menemui gugus kunci yang jarang sekali engkau cicir di mana-mana. Dan engkau juga sudah malas untuk berhempas-pulas mencarinya.

Seakan ritual setiap malam: mungkin engkau perlu bertenang. Mungkin tekanan dari tempat kerja mengekori engkau masuk sekali ke dalam apartmen ini. Mungkin apartmen ini yang… atau mungkin tidak.

Pejam mata. Dan perlahan-lahan bunyi itu masuk terserap ke dalam hitam pandangan. Seolah berada di dalam ‘ruang tidak berpenghujung di dalam dimensi tidak diketahui’. Telinga engkau cuba bermesra dengan bunyi yang tidak habis mengerfingk-ngerfingk itu. Dan bunyi itu bersipongang di dalam ruang gelap pandangan pula. Sehinggalah engkau mampu dengar bunyi bumi berputar.

Engkau henyak tubuh di atas sofa. Perlahan-lahan mata dibuka. Dan skrin tivi samar-samar bernyala. Tukar siaran. Sekumpulan imigran bersama-sama berjalan mengusung tilam, berlatarkan mural indah di sepanjang dinding luar Penjara Pudu. Oh, apa I Don’t Want to Sleep Alone sudah boleh ditayang di sini?

Bunyi tadi sudah tidak mengerfingk-ngerfingk lagi. Dan mata juga sudah penat, meminta-minta ditutup rapat. Tetapi telinga masih ligat: tik tok jam dan tp tp tp titis air hentam sinki.

Sudah tidak tertahan lagi. Engkau mahu keluar dari apartmen ini tetapi gril pintu masih berkunci. Gugus kunci malas dicari. Saat itulah baru engkau mengerti akan khabar angin daripada jiran-jiran: blok bangunan apartmen ini telah dibangunkan di atas bekas tapak penjara. Tetapi apa bezanya dengan mereka yang sengaja memilih untuk memenjarakan diri di rumah sendiri?

Engkau bergegas ke dapur. Sepasang telinga ini meminta-minta mahu dicerai daripada tubuh. Engkau punggah sekali lagi segala laci, kabinet, peti sejuk dan entah apa-apa lagi. Dari dapur, ke bilik air, ke ruang tamu, ke bilik tidur, habis berselerak apartmen engkau waktu itu. Demi sebilah pisau yang tidak engkau temu.

Sebelum pisau mengerfingk-ngerfingk, mata engkau sempat mengerling kepada tin sardin di tepi sinki. Penutup nganga terbuka. Sisi bulat keping aluminium dengan lekuk-lekuk kecil berkilat: tajam amat. Tetapi belum pun sempat engkau capai tin itu, telefon bimbit berdering sekejap. Ada mesej masuk:

[Esok genap 4 bulan awak tak bayar sewa rumah. Kalau masih tak bayar, saya beri tempoh 24 jam untuk awak keluar.]

Ya, engkau mahu keluar. Tetapi bunyi aneh itu seakan tidak membenarkan. Sebelum gaji bulan ini mengalir deras ke benda-benda lain, lantas engkau buka laman sesawang bank di telefon bimbit. Segera melangsaikan sewa tertunggak dengan nafas yang berat. Hari-hari mendatang bakal kelam, keruh memekat.

Hanya selepas engkau mengemas rumah awal pagi itu, engkau menyedari yang ruang apartmen ini semakin disepikan oleh nafas engkau sendiri. Dan malam-malam engkau nanti tidak akan disiat lagi dengan rfingk rfingk rfingk. Malam demi malam dan ruang ini semakin sunyi. Satu persatu bunyi langsung mati. Sunyi yang menyerupai bunyi kematian. Oh, apa lagi yang akan engkau lakukan untuk tidak menamatkan naratif diri ini dengan noktah?

INFO HADIAH SASTERA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next