Selangorkini
SELANGOR

RM5 juta bina Klinik Jenis 7

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Sejumlah RM5 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi membina Klinik Jenis 7 menggantikan pembinaan klinik kesihatan desa yang terkesan ekoran pembinaan Jambatan Ketiga Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri juga menggantikan tapak lama berkeluasan kurang satu ekar kepada tapak baru berkeluasan kira-kira satu setengah ekar.

Katanya, ia bermakna klinik yang bakal dibina Kerajaan Negeri adalah lebih besar berbanding perancangan awal.

“Ini adalah bukti Kerajaan Negeri mengambil sikap bertanggungjawab dan peduli rakyat sehingga kita bina klinik hingga ke kategori 7 untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Ia dijangka siap pada 15 Jun ini, namun penggunaan sepenuhnya dijangka pada September nanti,” katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai lawatan turun padang PAC ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, hari ini.

Lawatan disertai Ahli Jawatankuasa PAC lain seperti Rodziah Ismail, Ng Tien Chee dan Dr Abdul Rani Othman itu turut berkesempatan ke tapak Klinik Jenis 7.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, klinik berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Jadi, apabila siap nanti, diharap semua dapat luangkan masa dan lihat sendiri apa yang mampu ditawarkan Klinik Jenis 7 ini,” katanya.


Pengarang :