Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor: Jangan jadikan masjid medan politik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 12 MEI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti politik dijalankan di masjid seluruh negeri.

Baginda bertitah, kepentingan masjid perlu digunakan secara tepat berpandukan garis panduan ditetapkan di peringkat negeri.

“Janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri sendiri terutama dalam keduniaan.

CP2A5774-1280x853“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapa pun menggunakan masjid untuk berpolitik, mengadakan ceramah tidak berlandaskan garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah sesuatu yang meragukan dan menyesatkan,” titah Baginda Sultan.

Terdahulu, media melaporkan wujudnya aktiviti berpolitik di masjid dan surau seluruh negeri membabitkan individu tertentu bagi kepentingan peribadi.

Ia termasuklah insiden Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang menggunakan ‘keranda’ dan van jenazah milik masjid dalam sidang medianya sebagai sentimen provokasi terhadap pentadbiran negeri sebelum ini.

Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan umum sewenangnya kelengkapan masjid digunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Baginda Sultan turut bertitah agar masjid seluruh negeri perlu didaftarkan dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Agama Islam (JAIS) bagi tujuan memelihara kesucian rumah ibadat itu.

CP2A5834-1280x853“Perkara ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan masjid dan juga penyelewengan dana serta (menghalang) pengembangan ajaran sesat,” titah Baginda Sultanm selepas berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Perodua, petang ini.

Dalam perkembangan itu, Masjid Perodua dibangunkan sebagai inisiatif memberi kemudahan kepada warga kerja Perodua dan masyarakat setempat menunaikan solat dan menjalankan aktiviti keagamaan, di sini.

Menelan kos belanja sebanyak RM10 juta, masjid yang terletak di atas tanah seluas 0.92 ekar itu mula dibangunkan sejak Ogos 2014 lalu.


Pengarang :