Selangorkini
NASIONAL

Syarat ketat peniaga warga asing

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewajibkan semua majikan premis perniagaan mengambil sekurang-sekurangnya 50 peratus pekerja tempatan daripada jumlah keseluruhan pekerja.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria berkata, pihaknya turut mengeluarkan polisi baru yang mewajibkan syarikat warga asing berdaftar dengan modal lebih dari RM1 juta jika ingin memohon lesen perniagaan.

“Syarikat warga asing juga tidak lagi boleh beroperasi di beberapa kawasan seperti Jalan Silang, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Bukit Bintang, Leboh Ampang, Leboh Pasar, Jalan Chow Kit,Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, dan Jalan Kenanga,” katanya.

Beliau berkata, DBKL turut menyenaraikan 23 jenis perniagaan yang tidak boleh dikendalikan warga asing di ibu kota antaranya pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam, kedai barang kemas, stesen minyak, kedai menjual produk kesihatan dan bengkel.

Selain itu, katanya, mereka turut dilarang daripada menjalankan perniagaan runcit komputer, perabot, pusat siber, kedai gunting, gerai makanan, salun rambut dan dobi.

Sementara itu, memetik Sinar Harian, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Zaharuddin Basiron berkata, langkah itu bertujuan mengawal kebanjiran peniaga warga asing tidak terkawal khusunya di sektor peruncitan dan perdagangan.

“Keadaan ini memberi impak tidak baik kepada peniaga warga tempatan serta mencemarkan imej Kuala Lumpur, justeru kita buat inisiatif ini untuk melindungi peniaga tempatan,” katanya.


Pengarang :