Selangorkini
EKONOMI

Tempahan penumpang MAS melonjak 12.9%

KUALA LUMPUR 27 MEI: Tempahan penumpang Malaysia Airlines terus meningkat pada suku pertama tahun ini, naik 12.9 peratus, tahun ke tahun kepada 3.57 juta penumpang, walaupun persekitaran mencabar susulan harga bahan api yang tinggi dan pertukaran asing yang tidak menggalakkan.

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan nasional itu berkata faktor muatan domestik meningkat kepada 70.8 peratus bagi suku tersebut, berbanding 64.7 peratus dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, manakala faktor muatan antarabangsa naik kepada 81.1 peratus berbanding 69.6 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Peter Bellew berkata hasil lebih rendah disebabkan persaingan sengit dan perang harga, bagaimanapun, suku tahun itu menyaksikan peningkatan yang pesat dalam perniagaan antarabangsa susulan penyamaan caj tertentu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Malaysia Airlines terus menyaksikan tempahan yang kukuh dengan 45 peratus peningkatan dalam tempahan ke hadapan bagi tempoh enam bulan akan datang (dari Jun hingga November 2017) berbanding tempoh sama pada 2016,” katanya.

Mengenai pengembangan, kumpulan meninjau pelbagai pilihan kerangka besar untuk kemungkinan serahan pada 2018 dan 2019 berdasarkan pertumbuhan pesat dalam segmen antarabangsa.

Kumpulan pesawat semasa syarikat penerbangan itu terdiri daripada 54 pesawat Boeing 737-800, 15 Airbus A330-300 dan enam Airbus A380.
Sementara itu, Malaysia Airlines terus melabur dalam perancangan tenaga kerja dengan mewujudkan sistem pengurusan prestasi berstruktur untuk semua pekerja di seluruh kumpulan dan pada suku pertama tahun ini, sebanyak 70 peratus daripada eksekutif dan ke atas telah menghadiri bengkel tersebut.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan kepimpinan dan pelan penggantian, kumpulan memperkenalkan Program Pembangunan Kepimpinan Kanan (SLDP) iaitu tenaga kerja yang dikenal pasti untuk jawatan kepimpinan dihantar ke pelbagai institusi pendidikan yang berprestij sebagai sebahagian daripada pembelajaran dan pembangunan mereka.

Mengenai prospek, Malaysia Airlines mengekalkan unjuran berhati-hati bagi tahun kewangan 2017 susulan ringgit yang rendah dan harga bahan api tinggi mewujudkan persekitaran kos yang mencabar.

“Tempahan awal lebih kukuh pada 2017 berbanding 2016, bagaimanapun syarikat penerbangan menyaksikan tekanan dari segi hasil di semua laluan susulan tambang rendah boleh didapati daripada kebanyakan syarikat penerbangan legasi dan juga syarikat penerbangan tambang rendah tradisional.

“Kami akan terus berhati-hati dalam mengawal kapasiti dan menyediakan pesawat kumpulan di mana kami melihat potensi pulangan yang terbaik. Syarikat penerbangan masih di landasan untuk mencatat keuntungan pada 2018,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :