Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga Exco PAS kekal – DYMM Sultan Selangor

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 MEI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengekalkan ketiga Exco PAS dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perkara itu disahkan dalam kenyataan khas diedarkan pihak Istana dan ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani, pagi ini.

Baginda bertitah, kedudukan Exco sedia ada dikekalkan demi kepentingan rakyat dan memastikan usaha pembangunan Selangor terus dilaksanakan.

“Baginda mengambil kira mandat diberikan rakyat kepada Kerajaan Negeri sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan supaya kemakmuran rakyat Selangor terus tercapai.

“Baginda turut menyeru kepada semua pihak supaya tidak menimbulkan spekulasi negatif berkenaan kestabilan Kerajaan Selangor,” kata kenyataan itu.

SK - PNSB Sultan Bday 12th copyBaginda bertitah, keputusan itu dibuat selepas menerima menghadap Mohamad Azmin yang memaklumkan perkembangan terkini susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan KEADILAN.

Kenyataan itu turut memaklumkan Sultan Selangor sudah menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi bersama tiga Exco PAS untuk mengetahui pendirian dan kedudukan mereka.

“DYMM Sultan Selangor yakin kepercayaan diperolehi Mohamed Azmin ketika dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar, pada September 2014 masih kekal,” katanya.

Ketika ini, Dato’ Iskandar Abdul Samad memegang portfolio Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi), manakala Zaidy Abdul Talib adalah Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).


Pengarang :