SELANGOR

Umno-BN, sila tunai janji

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 25 MEI: Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) menggesa Kerajaan Persekutuan menanggung sepenuhnya kos melengkapkan fasa kedua Jambatan Ketiga Klang yang sudah tertangguh sekian lama.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan lebih RM200 juta bagi menyempurnakan pembinaan fasa pertama jambatan walaupun janjinya ditabur Umno-BN, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Katanya, cadangan dan pelan perancangan fasa kedua membabitkan jajaran ke bandar Klang sudah disiapkan, namun sehingga kini masih menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri yang sentiasa bersikap peduli rakyat sudah mengambil tanggungjawab membina jambatan ketiga berkenaan menerusi urus tadbir telus dan perbelanjaan negeri berhemah.

“Kita harap sangat Kerajaan Persekutuan dapat tunaikan janji kerana sesungguhnya janji perlu ditunaikan bukannya janji dicapati.

IMG_7884“Jika Kerajaan Persekutuan tidak menunaikan janjinya, saya percaya Kerajaan Negeri sedia meneliti dan lihat apa yang mampu kita buat untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai lawatan turun padang PAC ke Jambatan Ketiga Klang, di sini, hari ini.

Turut serta Ahli Jawatankuasa PAC lain termasuk Rodziah Ismail, Ng Tien Chee dan Dr Abdul Rani Othman dan wakil agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Audit.

Sebelum ini, media melaporkan sumber web Kementerian Kerja Raya menyebut, projek berkenaan dirasmikan Menteri Besar pada masa itu, Dr Mohamad Khir Toyo dan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S Samy Vellu, pada 4 Mac 2008.


Pengarang :