Selangorkini
SELANGOR

Denggi meningkat di Hulu Langat, langkah segera dikerah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 JUN: Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah kumulatif kes daftar denggi 5,702 setakat 27 Mei lalu iaitu peningkatan 420 kes berbanding 5,282 dalam tempoh sama, tahun lalu.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, daerah itu juga mencatatkan 16 kumulatif kes kematian berbanding 13 kes dalam tempoh sama, pada 2016.

“Daerah Hulu Langat sejak empat minggu lalu (minggu epid ke-18) bukan sahaja memintas Petaling daripada segi bilangan jumlah kes daftar denggi mingguan, malahan turut mencatatkan bilangan kes kematian tertinggi di Selangor.

“Angka di atas adalah sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan jumlah kes daftar dan kematian ketara,” katanya dalam kenyataan.

daroyah01Setakat 27 Mei lalu, jumlah kumulatif kes daftar denggi dilaporkan di seluruh Selangor adalah 20,910 kes, berbanding 26,449 pada tempoh sama, tahun lalu.

Daroyah berkata, statistik minggu epid ke-21 memperlihatkan penurunan 5,539 kes atau 23.4 peratus, namun peningkatan daftar kes di daerah Hulu Langat adalah fokus utama ketika ini.

Katanya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sudah dikerah untuk mempergiatkan program kawalan juga pencegahan denggi di lokasi hotspot.

“MPAJ antara lain menubuhkan ‘task force’ untuk aktiviti kawalan di kawasan hotspot, melaksanakan kempen ‘0’ Zero Larva (0ZEL) dan Lorong Belakang Bebas Aedes (LOBBA) selain memperketat penguatkuasaan terhadap kontraktor pembersihan.

“MPKj pula menyediakan racun ‘larvaciding’ secara percuma kepada kontraktor pembersihan terpilih untuk memberi semburan ‘larvaciding’ di kawasan seliaan masing-masing. Sebagai pelaksana, mereka dilihat lebih mahir berkenaan lokasi takungan berpotensi di kawasan tertentu,” katanya.


Pengarang :