Selangorkini
ALAM SEKITAR & CUACA KENYATAAN MEDIA

Isu pencemaran Sungai Batang Kali

OLEH: Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor

Merujuk kepada isu yang dibangkitkan di dalam ruangan Halaman Kota, suratkhabar Berita Harian bertarikh 06 Jun 2017 (Selasa).

Adalah dimaklumkan bahawa selain daripada kuasa-kuasa yang tertakluk di bawah bidang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan ke atas perlakuan kacau ganggu dalam anak sungai dan sebagainya mengikut Seksyen 69 dan Seksyen 70, Akta Kerajaan Tempatan.

Berhubung isu Sungai Batang Kali yang tercemar teruk, sememangnya pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah mewajibkan kepada pengusaha restoran untuk menyediakan perangkap minyak “grease trap” bagi semua premis makanan di Hulu Selangor.

Ini adalah untuk memastikan sisa makanan tidak dibuang terus ke dalam longkang dan saliran yang akan mencemarkan punca air berdekatan.

Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu,pihakMajlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) juga akan mengambil tindakan yang tegas ke atas pengusaha kolam ternakan ikan yang mungkin menyebabkan sumber pencemaran sungai tersebut.

Tindakan bersepadu dengan agensi-agensi yang terlibat dalam menjaga sumber ini seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) akan dilakukan.

Pihak majlis mengalu-alukan kepada penduduk sekitar sekiranya ada maklumat mengenai punca pencemaran agar tampil menghubungi pihak majlis di talian 03-60641331 atau 03-60641050.

Pengadu juga boleh melayari www.mdhs.gov.my untuk mengemukakan aduan.

Sesungguhnya, kesedaran awam adalah amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar dengan menjaga kebersihan sungai.

Kebersihan sungai adalah tanggungjawab kita bersama.


Pengarang :