Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN Selangor desak siasat segera skandal RM9.5 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 JUN: KEADILAN Selangor menggesa siasatan segera dibuat berhubung dakwaan bayaran RM 9.5 juta daripada akaun peribadi Perdana Menteri ke akaun peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, Perdana Menteri juga perlu menjelaskan hubungan istimewa antara beliau dan peguam itu sehingga menyebabkan penyaluran wang berkenaan, jika berlaku seperti dilaporkan.

“Situasi ini menimbulkan keraguan dan konflik kepentingan tatkala waktu penyaluran wang itu berlaku sekitar kes pembunuhan Pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan pendakwaan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa Sarawak Report.

“Saya menegaskan siasatan bebas dan adil dijalankan segera bagi memastikan isu membabitkan dakwaan terhadap salah laku Perdana Menteri dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau bersama sembilan yang lain membuat laporan polis bagi menggesa siasatan berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Shuhaimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) boleh menyiasat kes itu berdasarkan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

IMG_5840“Ia mungkin membabitkan situasi pecah amanah termasuk berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

“Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana penyalahgunakan dana awam jika aliran kewangan seperti didakwa berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Sarawak Report mendakwa RM4.3 juta didepositkan daripada akaun Ambank milik Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB ke akaun peribadi Shafee.

Pada 1 Jun lalu, media sama turut mendakwa wang itu dimasukkan selepas sebulan setengah Hussein Ahmad mati dibunuh, pada 28 Julai 2013.

Pembayaran kedua berjumlah RM5.2 juta pula didakwa dilakukan menerusi akaun sama, pada 17 Februari 2014 iaitu dua minggu sebelum keputusan rayuan kes liwat Anwar.

Kes rayuan itu menyaksikan Shafee bertindak sebagai Pendakwaraya mewakili Jabatan Peguam Negara.


Pengarang :