PBT SELANGOR

Kutipan sisa pepejal tiga PBT meningkat 25 hingga 30%

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 21 JUN: Jumlah kutipan sisa pepejal di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada bulan Ramadan ini meningkat 25 hingga 30 peratus.

Pengurus Besar KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, tiga PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, sisa makanan yang tidak dihabiskan termasuk yang dijual di bazar Ramadan antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah sampah itu.

kdeb-02“Kebiasaannya memang setiap kali Ramadan, kita dapat lihat peningkatan sampah terutama yang dijana dari penjualan bazar Ramadan.

“Saya percaya di PBT lain turut mengalami masalah sama,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, penjanaan kutipan sampah itu menjadikan sehingga 800 tan sehari berbanding 500 tan sehari, sebelum ini.

“Antara tiga PBT itu, setakat ini di kawasan Selayang mencatatkan paling tinggi iaitu sehingga 800 tan sehari,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya sudah menambah tong roro bagi kegunaan penduduk khususnya kawasan MPK dan MPS menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Di dua PBT ini, kita sudah mengambil alih pengurusan sampah pukal. Namun, di kawasan MPAJ kami memberi jaminan untuk turut menawarkan untuk mengambil sampah pukal bagi memudahkan penduduk menyambut perayaan.

“Kita juga akan memastikan semua kawasan bersih dan tidak tertumpu pada kawasan ‘hotspot’ sahaja,” katanya.


Pengarang :