Selangorkini
NASIONAL

MAS didakwa kunci mulut isu kakitangan terabai

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Pengurusan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines didakwa gagal memberi penjelasan berhubung tindakannya mengurangkan tenaga kerja dalam pesawat terbabit.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, pihaknya masih menunggu jawapan daripada Malaysia Airlines atas tindakan berkenaan yang mengundang beban kerja tambahan kepada anak kapal.

Menurut kenyataan bersama Biro Aduan Pekerja Syaarikat Penerbangan (BATW) itu, setiap pesawat Malaysia Airlines dikurangkan kepada satu hingga dua anak kapal, pada setiap penerbangan.

Katanya, ia sekali gus menjejaskan prestasi pekerja juga keselamatan dalam pesawat penerbangan.

“Kami menerima banyak aduan berkenaan isu tekanan tempat kerja yang masih belum diambil tindakan.

mas“Apabila Malaysia Airlines mengurangkan tenaga kerja, anak kapal terpaksa memikul tugas lebih berat, malah anak kapal yang bertugas ke luar negara tidak mendapat rehat secukupnya,” katanya.

Lebih membimbangkan, wujud halangan daripada pengurusan Malaysia Airlines yang sukar membenarkan anak kapal mengambil cuti perayaan dengan alasan kekurangan tenaga kerja.

“Satu surat bertarikh 7 Jun lalu dihantar dan kami masih menunggu jawapan mereka,” katanya.

Sejak 2015, Malaysia Airlines mengurangkan tenaga kerja dari 3,900 kepaada 2,500 walaupun keperluan tenaga kerja masih tidak mencukupi.

Sementara itu, kenyataan terbabit turut mendedahkan NUFAM dan BATW akan memanjangkan masalah berkenaan kepada Kementerian Sumber Manusia bagi mencari penyelesaian.


Pengarang :