Selangorkini
SELANGOR

MB: Tangguh roboh kuil, cari penyelesaian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri mengambil maklum kebimbangan penduduk berhubung kemelut membabitkan aktiviti perobohan Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan bersama pemaju supaya aktiviti perobohan ditangguhkan bagi mejaga kepentingan penduduk, di USJ Subang Jaya.

“Saya sudah bercakap kepada pemaju berhubung keprihatinan kami terhadap masalah ini supaya aktiviti perobohan dan sitaan ditunda buat sementara waktu.

“Saya akan bertemu dengan semua pihak berkepentingan yang berkenaan dalam tempoh dua minggu untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.

AzminMohamed Azmin berkata, pihaknya sebelum ini sudah dimaklumkan bahawa pihak pemaju, One City Development menerima perintah mahkamah untuk membenarkan projek pembinaan diteruskan berdekatan tapak kuil.

Pada masa sama, katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan bersama Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau; Ahli Parlimen Subang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berhubung isu terbabit.

Penduduk setempat sebelum ini memohon campur tangan peringkat Kerajaan Negeri dilakukan bagi menghalang aktiviti sitaan diteruskan.

Kuil Seafield Sri Maha Mariamman adalah tempat ibadat masyarakat Hindu setempat dan terdapat sebatang Pokok Ara yang dianggap suci mengikut kepercayaan mereka.

Penganut Hindu di kawasan itu sudah menggunakan kuil berkenaan ketika mula dibuka pekerja ladang, sejak 1891.


Pengarang :