SELANGOR

MBI agih sumbangan Aidilfitri RM105,000 buat tiga DUN

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Pejabat ADN Kota Anggerik menyampaikan sumbangan Aidilfitri RM20,000 kepada anak yatim dan asnaf, semalam.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Anak Yatim dan Anak Asnaf di Masjid Azhariah (UNTA) Seksyen 18 disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, sumbangan ini adalah satu lagi tindakan yang diusahakan melalui kerjasama bersama komuniti tempatan.

“Golongan ini penting untuk dipeduli bagi menaikkan kualiti sosio ekonomi mereka sekali gus menjamin kesejahteraan negeri.

“Justeru, kecemerlangan prestasi anak syarikat dan kebajikan jemaah harus diperjuangkan bersama. Ini pendekatan ‘two pronged’ yang kami akan terus rencanakan bagi memastikan semua warga Selangor yang memerlukan dibantu sewajarnya,” katanya.

Secara keseluruhan 200 individu menerima sumbangan yang turut diagihkan kepada keluarga yang mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.

Dalam perkembangan sama, MBI turut menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM20,000 kepada asnaf fakir di DUN Kota Damansara.

Ia kemudiannya disusuli dengan sumbangan di DUN Sementa berjumlah RM65,000.


Pengarang :