Suara bengkeng anak muda | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Suara bengkeng anak muda

Oleh Roslan Jomel

 Write something you’d never show your mother or father” – Lorrie Moore.

CERPEN Boksing yang memimpin dua belas cerpen dalam buku Debu Bidadari membentuk teras keperibadian penulisan Syafiq Ghazali. Cerpen itu menjadi gelatin dalam ingatan pembaca. Tidak dapat disangkal, cerpen Boksing adalah arah masa depan Shafiq Ghazali dengan prosa yang menentang sastera arus utama, bernuansa pinggiran dan pulp. Cerpen terbaik dalam buku itu mengingatkan saya kepada cerpen Batas-batas Perhitungan tulisan Norhisham Mustafa awal 1990-an. Kedua-dua penulis ini kelahiran Kelantan dan kebetulan menyentuh tema pembalasan dendam penuh emosi dengan kesudahan yang menterbalikkan jangkaan klise pembaca.


Cerpen-cerpen yang dihimpun dalam buku ini ditulis oleh penulis generasi baharu Malaysia, bakal dikenang suatu masa nanti dengan menerap pengaruh Denis Johnson dan Paul Auster. Terutamanya, cerpen Boksing yang menghantarkan saya kepada sebuah cerpen bertajuk Beverly Home, termuat dalam buku Jesus’s Son. Tanpa mengambil kira usia kematangan dalam penulisan, kualiti cerpen Boksing jauh mengatasi sebahagian cerpen-cerpen yang disiarkan dalam akhbar-akhbar arus utama. Benar, situasi dan pokok cerita dalam kedua-dua cerpen tersebut berbeza. Yang saya maksudkan ialah pembinaan subject matter atau perspektif unik mereka berdua sebelum dibentuk menjadi karya fiksyen.

Jika anda pernah membaca kumpulan cerpen Dongeng Pasca Merdeka karya Azman Hussein, maka kumpulan cerpen tulisan Shafiq Ghazali ini turut menyerlahkan semangat anak muda. Suka saya untuk mencantumkan kedua-dua nama penulis ini apabila melihat kepada attitude dan revolusi yang dicipta dalam karya fiksyen. Bahasa digunakan lebih realistik dengan metafora-metafora yang kedengaran lebih moden. Azman Hussein menerima penghargaan paling berprestij dalam posisi kesusasteraan nasional apabila buku kumpulan cerpen Dongeng Pasca Merdeka dipilih sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada usia 25 tahun. Ketika itu, Azman Hussein memfokuskan persoalan-persoalan yang lebih kompleks pada setiap cerpennya. Mengangkat isu-isu sosial, politik kenegaraan dan falsafah serta psikologi persendirian anak muda untuk Dongeng Pasca Merdeka.

Namun berbeza dengan kompas penulisan Shafiq Ghazali. Debu Bidadari ditulis bertujuan menumpukan perhatian kepada karakter semasa anak muda dan konflik-konflik mereka. Bakat penulisan Shafiq Ghazali menyusuri lorong kisah yang lebih gelap dan berkumuh. Cerpen Boh Biru, Debu Bidadari, Orang Kuala Lumpur, Tikus-tikus Kota dan Bra Na, misalnya. Cerpen-cerpen eksentrik ini mencerminkan gelora fantasi, halusinasi dan kenakalan anak muda serta kenaifan. Wilayah seksual, payudara wanita dan kenikmatan sensasi dadah diterokai sejernih mungkin. Ketaksuban kepada organ tubuh yang menjadi sumber untuk melampias nafsu, pembunuhan atas desakan bodoh demi kesucian agama dan kisah detektif ala Roberto Bolano melengkapkan kumpulan cerpen terbitan Roman Buku. Terima kasih diucapkan kepada Sufian Abas atas usahanya mengumpul penulis-penulis muda berpotensi.

debu bidadariSebuah karya sastera yang bagus ialah apabila pengarang berjaya menarik pembaca berasa dekat dengan aksi para wataknya. Abaikan pesanan klasik pengajar bengkel penulisan yang terkenal dengan slogan show, dont tell. Sekurang-kurangnya Shafiq Ghazali menyedari tuntutan asas fiksyen tersebut. Buku Debu Bidadari bukan karya beraliran eksperimental, namun cerpen-cerpen Shafiq Ghazali mencabar kepura-puraan sesetengah pengarang dalam menurunkan kisah masyarakat. Dalam filem awal Christopher Nolan, The Following, dua watak protagonis menyelongkar sebuah rumah ke sebuah rumah tanpa motif jelas dan lebih kepada aktiviti keseronokan. Suasana sedemikian boleh ditemui dalam cerpen Sistem Tuan Rumah. Obses kepada sistem teater yang canggih dengan lagu-lagu dari negara Jepun ini sememangnya janggal. Ini kisah cinta bertepuk sebelah tangan. Tidaklah memadai sesebuah karya sastera sekadar menekankan isu-isu gah semata-mata tetapi menyingkirkan hal-hal remeh seperti digambarkan dalam cerpen Sistem Teater Rumah, misalnya.

Cerpen kedua terbaik dalam buku Debu Bidadari berpihak kepada Eksposisi. Buat anda yang akrab dengan naratif dan pengembaraan pelik karya Haruki Murakami, kesan serupa dirasai dalam cerpen tersebut. Sebagaimana menarik dan kemasnya Shafiq Ghazali menjalin alur cerita dalam Boksing, demikian juga impak yang ditunjukkan dalam cerpen Eksposisi.  Inilah kelebihan seseorang pengkarya jika cerdik meluaskan saiz imaginasi. Pada usia relatif muda, keupayaan pengarang ini menyajikan cerita dengan lebih baik daripada yang biasa ditemui dalam media-media lain, sangatlah membanggakan kepada saya. Bahkan perkenalan pengarang ini dengan nama-nama penting dunia dalam bidang fiksyen membantu skill penulisan terampil berbanding yang seusia dengannya.

Suatu kredibiliti kepada Shafiq Ghazali ialah dia menghidupkan hero-hero fiksyen daripada orang-orang biasa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, misalnya. Status pekerjaan yang jarang dipandang tinggi oleh masyarakat sedangkan seribu kisah menakjubkan bakal ditemui dalam kalangan orang-orang marhaen. Watak-watak diperan dalam Debu Bidadari lebih intim kepada pembaca dan berkarisma daripada ahli politik yang saban tahun membina jambatan ke langit kepada penyokong-penyokong. Secara jujurnya, teknik yang diaplikasikan dalam kesemua cerpen untuk buku Debu Bidadari mudah untuk difahami oleh audiens biasa.

Selepas era SM Zakir dan Azman Hussein yang merombak dan memperbaharu gaya penceritaan, kini legasi kecemerlangan sastera Kelantan dan Malaysia, terletak kepada penulis bernama Shafiq Ghazali. Setakat yang saya maklum, buku ini adalah karya ketiganya. Dengan bakat, kelancaran dan penguasaan bahasa yang baik, Shafiq Ghazali mempelbagaikan lagi bacaan alternatif di Malaysia. Jika anda penulis muda dan berlagak dengan kisah-kisah dewasa, lebih baik lupakan sahaja niat anda.  Debu Bidadari tidak ditulis untuk memasuki sayembara dan tidak pula dikirimkan kepada editor-editor yang mempertahankan kemurnian dan ketinggian tatasastera.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Seterusnya

Kabel

BERITA BERKAITAN

Prev
Next