Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor, MB sertai 5000 jemaah solat Aidilfitri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, bersama 5,000 jemaah, sempena sambutan 1 Syawal.

Sultan Sharafuddin tiba di masjid itu bersama Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, kira-kira jam 8.30 pagi.

Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama barisan Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib, Amirudin Shari, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Dato’ Ahmad Yunus Hairi.

CP2A8243-1024x683Turur hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, barisan pimpinan Ahli Dewan Negeri, Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Pada masa sama, baginda turut berkenan bertakbir bersama jemaah yang hadir sebelum menunaikan solat sunat Aidilftitri.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mencemar duli beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda yang berjiwa rakyat itu.

Terdahulu, khutbah Aidilfitri disampaikan oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Pada masa sama, solat sunat Aidilfitri yang diadakan di masjid itu meriah dengan kehadiran umat Islam pelbagai bangsa juga warganegara Bangladesh, Myanmar dan Indonesia yang turut sama meraikan sambutan Syawal di negeri itu.


Pengarang :