Yang kita jarang tahu sebalik tabir pengumuman Aidilfitri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Nazli Ibrahim

Yang kita jarang tahu sebalik tabir pengumuman Aidilfitri

OLEH NAZLI IBRAHIM

KETUPAT sudah dianyam, buluh lemang sudah tersedia. Hanya menunggu diisikan beras dan pulut sahaja lagi.

Ayam di reban hanya menanti untuk disembelih dan bahan-bahan lain juga sudah disiapkan. Cuma tinggal kini hanyalah menantikan pengumuman raya sahaja.


Tepat jam 8.00 malam semua ahli keluarga sudah berkumpul di hapadan kaca televisyen menantikan pengumuman Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dengan penuh debaran.

Kira-kira setengah jam Berita Perdana di TV1 RTM (Radio dan TV Malaysia) ke udara, penyampai berita yang tidak asing lagi pada masa itu, Harjit Singh Hullon (kini Dato’) memberi laluan untuk pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Syawal 1401 bersamaan 2 Ogos 1981,” ucap Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada masa itu, Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof.

ketupatSerentak dengan pengumuman itu, kanak-kanak melompat kegembiraan dan manakala ahli keluarga lain yang lebih dewasa bertempiaran menyiapkan tugasan masing-masing.

Ada yang merebus ketupat, ada yang membakar lemang, ada yang membantu emak memasak rendang, ada yang mengisi kuih raya dalam balang kaca untuk dihidangkan kepada tetamu dan macam-macam lagi.

Sementara itu, ‘pembawa perutusan’ yang biasanya kanak-kanak segera berlari ke masjid untuk memaklumkan bahawa esok hari raya kepada imam dan jemaah lain yang setia menanti di masjid. Selepas itu barulah takbir raya dikumandangkan.

Demikianlah senario biasa pada malam pengumuman Hari Raya Aidilfitri dulu-dulu yang penuh dengan debaran. Namun susana malam raya sekarang agak berbeza, tiada lagi elemen mendebarkan seperti dahulu lagi.

Walaupun pengumuman raya masih dibuat seperti biasa, namun lazimnya tarikh hari raya hari ini sudah pun diketahui lebih awal lagi.

Ini semua disebabkan kemajuan teknologi yang membantu penetapan permulaan puasa dan hari raya dengan lebih efektif dan sekaligus memudahkan lagi masyarakat agama Islam membuat persiapan raya.

Selain elemen mendebarkan, sebenarnya banyak fakta menarik lain di sebalik pengumuman hari raya. Sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini SelangorKini menyorot beberapa fakta menarik yang ada di antaranya kurang diketahui umum di sebalik pengumuman raya untuk tatapan semua.

Seperti yang kita semua tahu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja adalah pihak yang diamanahkan untuk mengumumkan tarikh permulaan puasa, hari raya puasa dan hari raya haji.

Beliau dilantik di bawah Seksyen 3 Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan dan bertindak sebagai Setiausaha Majlis Raja-raja dan hendaklah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Majlis Raja-raja.

Individu pertama menduduki jawatan ini adalah Raja Ayob Raja Haji Bot daripada Februari 1948 hingga Mei 1948.

Namun, pengumuman puasa atau raya pertama dibuat hanyalah pada tahun 1972 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada masa itu, Tan Sri Ahmad Husin.

Kali pertama cerapan anak bulan

Ini kerana pada masa itulah buat pertama kalinya cerapan (melihat) anak bulan dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia dibuat pada 29 Syaaban 1392 bersamaan 7 Oktober 1972 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

anak bulanTeluk Kemang kekal menjadi lokasi tunggal tempat cerapan anak bulan sehinggalah pada 1978 ditambah lagi dua lokasi cerapan iaitu Johor Bahru dan Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.

Jumlah lokasi cerapan terus bertambah sehingga mencecah kepada 30 lokasi pada 2010.

Bagi penetapan permulaan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebanyak 29 lokasi cerapan telah ditetapkan.

Sebelum tahun 1972 urusan penetapan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Penetapan permulaan puasa dan hari raya dibuat adalah berdasarkan ‘Rukyah’ (Cerapan Hilal) dan ‘Hisab’ (kiraan).

Rukyah ditentukan melalui pencerapan di kesemua tempat yang disenaraikan sebelum laporan daripada pegawai pencerapan meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap.

Manakala hisab pula ditentukan ahli falak dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut kriteria ketetapan ‘Imkanur-Rukyah’, iaitu kebolehnampakan hilal atau anak bulan yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

Kriteria tersebut berdasarkan persetujuan bersama oleh anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

Sehingga kini sudah 89 kali pengumuman permulaan puasa dan hari raya puasa sudah dilaksanakan dengan melibatkan seramai lima orang Penyimpan Mohor Besar Raja-raja termasuk seorang pemangku.

Meraka adalah Tan Sri Ahmad Husin (1972 – 1980), Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof (1981 – 1988), A. Rahim Kassim yang merupakan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja yang memangku Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (Februari 1988 – Disember 1988), Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah (1989 – 2011) dan terkini adalah Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Daripada jumlah itu, hanya 15 kali anak bulan kelihatan menandakan permulaan puasa atau hari raya berbanding anak bulan tidak kelihatan sebanyak 74 kali.

Daripada 15 kali itu, anak bulan paling kerap kelihatan di Teluk Kemang dengan sekurang-kurangnya tujuh kali berbanding tempat-tempat lain.

Kaedah pengumuman

Akhir sekali selepas selesai mencerap, tibalah pula kaedah untuk mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya.

Bagi tujuan ini, satu mesyuarat diadakan terlebih dahulu melibatkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, JAKIM (Bahagian Falak) dan pihak RTM bagi menentukan tindakan yang perlu diambil termasuk menentukan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi tidak tergendala pada waktu pencerapan dan urusan pengumuman.

Rakaman pengumuman juga sebenarnya sudah dibuat dalam dua versi atau situasi, iaitu mengandaikan (i) anak bulan kelihatan dan (ii) tidak kelihatan yakni samada Syaaban atau Ramadan berjumlah 29 atau 30 hari.

UMUM RAYAUrusetia diwujudkan melibatkan pegawai RTM yang bertanggungjawab dan ahli falak dari JAKIM. Laporan-laporan akan diterima dari semua pusat pencerapan. Apabila selesai, laporan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Lazimnya semua tindakan tersebut berjaya disempurnakan sebelum jam 8.00 malam supaya dapat diumumkan pada waktu Berita Perdana di saluran TV1, RTM sedang disiarkan.

Demikianlah serba sedikit fakta apa yang berlaku disebalik pengumuman permulaan puasa dan hari raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari SelangorKini.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next