PBT SELANGOR

Anugerah Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017 tawar RM94,000

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sejumlah RM94,000 ditawarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Pertandingan Anugerah Bandar Rendah Karbon Shah Alam 2017.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pertandingan terbuka kepada agensi kerajaan, industri, sektor korporat, institut pengajian tinggi (IPT), sekolah rendah, sekolah menengah dan komuniti Shah Alam.

Katanya, ia terbahagi kepada empat kategori iaitu Kategori Bangunan Rendah Karbon, Kategori Senario Rendah Karbon, Kategori Rendah Karbon dan Kategori Ikon Rendah Karbon.

“Anugerah ini merupakan platform MBSA menggalakkan budaya kreatif dan inovatif terhadap alam sekitar berteraskan rendah karbon dalam kalangan organisasi dan komuniti di Shah Alam.

“Ia juga merupakan inisiatif MBSA untuk memberi penghargaan terhadap individu dan organisasi yang komited dalam melaksanakan inisiatif hijau ke arah pembangunan mampan dan rendah karbon,” katanya.

Pertandingan sudah mula dibuka pada 18 Mei lalu dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 September 2017.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang dan syarat penyertaan di Jabatan Perancangan, Tingkat 9, Wisma MBSA atau menghantar email kepada la21shahalam@gmail.com.

Untuk sebarang pertanyaan, mereka juga boleh hubungi Unit Pembangunan Mampan, Jabatan Perancangan di talian 03-51105133 atau Pegawai Perancang Bandar, Annie Syazrin Ismail di talian 03-5522863.

=EZY=


Pengarang :