Selangorkini
SELANGOR

Dua syarikat sumbang RM800,000 jayakan ‘Kasihku Zakat Selangor’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JUL: Dua lagi syarikat menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan menyalurkan sumbangan hampir RM800,000.

Syarikat terbabit adalah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad sebanyak RM782,157.87 dan UEM Sunrise Berhad sebanyak RM10,000.

Penyerahan sumbangan itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali dalam Majlis Mesra Aidilfitri di Dewan Yayasan Ar Raha, di sini.

Terdahulu, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

LZS-ZAKAT-e1464246618281‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat disalurkan berdasarkan empat pakej utama ditawarkan membabitkan pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat lagi, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR).

Dalam majlis itu juga, LZS turut menerima zakat perniagaan daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebanyak RM152,360.38 daripada Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Selangor, Dato’ Alias Hamzah.

Selain itu, Felda Global Ventures Berhad (FGV) turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM RM112,628 oleh Ketua Pegawai Operasi Fgv, Dato’ Khairil Anuar Aziz.

LZS turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan media dan blogger atas komitmen dan jalinan kerjasama yang diberikan dalam menyebarluaskan dakwah zakat dan bersama LZS menyantuni asnaf zakat di Selangor.


Pengarang :