SUKANKINI

Faham isu sebelum buka gelanggang bertarung

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pemain bola sepak Selangor dinasihat menumpukan perhatian terhadap persembahan pasukan dan tidak menjadikan diri sebagai alat politik pihak tertentu terutama berkenaan bonus.

Mantan pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, isu ditimbulkan pemain lebih mengeruhkan keadaan antara Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) termasuk beberapa perkara yang tidak diselesaikan seperti penajaan dan penggunaan stadium.

“Jika Kerajaan Negeri bertanggungjawab membayar bonus, kenapa pemain tidak menuntutnya melalui mahkamah? Suka saya menasihatkan pemain supaya memahami isu dahulu sebelum membuka gelanggang bertarung,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas komen Kapten Selangor, Razman Roslan berkenaan bayaran bonus daripada Kerajaan Negeri di sebalik paparan komen di laman Instagram Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari berkenaan pembaikan Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pemain juga tidak wajar menuntut bonus daripada Kerajaan Negeri memandangkan FAS kini bukan di bawah seliaan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tumpulah aksi pasukan di atas padang, takkan kita berpuas hati setakat berada lebih tinggi daripada PKNS FC? Itu sahajakah tahap Merah Kuning? Perjalanan berbaki tidak banyak lagi untuk mencapai sasaran terbaik.

“Janganlah kerana buta kontrak, tugas sebagai pemain bermaruah hanya jadi budak suruhan. Bermainlah demi lencana di dada, bukan populariti di mata majikan,” kata mantan pemain Selangor itu.


Pengarang :