BERITA UTAMA

FAS terus buat ‘tuduhan politik’, cuba burukkan imej negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kononnya wujud elemen sabotaj membabitkan pasukan itu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, FAS sengaja membuat tuduhan politik bagi memburuk-burukan imej pentadbiran negeri dan sukan bola sepak negeri.

“Saya tidak senang dengan pertuduhan dibuat kononnya wujudnya sabotaj di peringkat Kerajaan Negeri yang menghalang pasukan itu untuk berlatih.

“Memang kini tiada lagi kerjasama antara FAS dan Kerajaan Negeri, namun atas ihsan kami masih memberi kelonggaran kepada FAS untuk menggunakan tempat latihan kerana tidak mahu mensabotaj atau merosakkan persiapan mereka.

“Namun apa dinyatakan FAS sebelum ini adalah tidak bertanggungjawab dan cubaan untuk memburukkan sikap Kerajaan Negeri terhadap pembangunan bola sepak secara menyeluruh,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang mendakwa kononnya pasukan Selangor tidak diberikan kebenaran di peringkat Kerajaan Negeri untuk menggunakan fasiliti di Stadium Shah Alam.

Amirudin mendakwa, media demikian digunakan sebagai medium untuk menyerang dan memburukkan imej pentadbiran negeri.

“Permainan politik FAS ini bermula apabila berlakunya pertelingkahan ketika Kerajaan Negeri cuba membuat perubahan dan akhirnya mereka memutuskan untuk bermain politik.

“Jadi Kerajaan Negeri mengambil sikap untuk tidak lagi memberikan sokongan sebaliknya melihat pembangunan menyeluruh dan meneruskan perancangan dilaksanakan PKNS,” katanya.

=EZY=


Pengarang :