PENDIDIKAN SELANGOR

Fokus dalam kelas, resepi kejayaan pelajar terbaik keseluruhan Yayasan Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas adalah tips terbaik untuk memahami setiap mata pelajaran seterusnya beroleh keputusan peperiksaan terbaik.

Itu adalah resepi istimewa pelajar tajaan Yayasan Selangor, Fadhluddin Sahlan dari Maktab Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) yang menggenggam Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan hasil kejayaan 11A (10A1+ dan 1A-) dalam SPM 2016.

“Saya tidak mengambil sebarang kelas tambahan tetapi sentiasa memberi 100 peratus tumpuan ketika di dalam bilik darjah.

YAYASAN SELANGOR INTEKMA (5)“Hasilnya, saya memahami setiap yang diajar guru dan memudahkan proses ulang kaji untuk menghadapi peperiksaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2016 bagi kategori aliran agama.

Anak kepada pasangan peguam ini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Asasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2016 bagi kategori aliran kebangsaan, Rebecca Wong Shin Ai berkata, beliau banyak mengamalkan latih tubi bagi memahami mata pelajaran diambil.

“Saya juga menghadiri kelas tambahan disediakan bagi membantu lebih memahami setiap subjek. Selain itu, sokongan keluarga turut menjadi pembakar semangat untuk saya mencapai sasaran 10A, dalam SPM lalu,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang A-Level di Methodist College Kuala Lumpur (MCKL).


Pengarang :