Selangorkini
NASIONAL

Gabung bank, apa manfaat untuk rakyat dan ekonomi?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian tegas bagi memastikan kepentingan pekerja dan ekonomi negara dilindungi bank terbabit dalam proses penggabungan serta pengambialihan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, ilitizam politik juga perlu untuk menentang pengaruh agenda neo-liberal yang berterusan menyebabkan 99 peratus masalah.

Katanya, MTUC dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dengan tegas mengecam langkah penggabungan dan pengambilalihan bank yang mengakibatkan masalah sosial seperti kehilangan pekerjaan serta kesan ekonomi.

“Standard & Poor’s Global Ratings (S&P) dalam mewakili dunia korporat dan agenda neo-liberal sudah gagal, kita mempersoalkan iltizam politik dalam meneruskan cadangan penggabungan RHB-AMMB.

“Bagaimanakah ini akan berlaku dan mengapa organisasi seperti S&P cuba mengelirukan rakyat Malaysia? Apakah agenda S&P?,” katanya dalam kenyataan.

Solomon berpendapat krisis kewangan global 2008 mengajar negara ini beberapa perkara dengan saiz bank dan tingkah laku spekulatif palsu bank terbabit adalah penyebab utama krisis kewangan.

JSolomon“Pada akhirnya pembayar cukai yang terpaksa menyelamatkan bank besar dan ekonomi.

“Sejauh mana kewujudan risiko seperti itu bagi ekonomi Malaysia dari segi penggabungan RHB-AMMB akan memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi,” soalnya.

Pada masa sama, katanya, penggabungan itu akan memberi manfaat singkat kepada harga saham dan pampasan eksekutif.

Beliau berkata, organisasi yang terbabit dalam proses penggabungan seperti firma perundingan juga akan mendapat faedah melalui bayaran besar yang ditetapkan.

“Sebaliknya, rakyat biasa Malaysia yang akan terjejas. Akan ada kehilangan pekerjaan dan pengangguran lebih tinggi serta mewujudkan isu struktur jangka panjang ke atas ekonomi Malaysia melalui pengurangan penggunaan dan permintaan,” katanya.

Terdahulu, Solomon yang juga Setiausaha Agung NUBE berkata, pihaknya kecewa kerana penggabungan RHB Bank Berhad dan AMMB Holdings Berhad langsung tidak dibincang bersama kesatuan itu, sekali gus menggambarkan sikap tidak menghormati kepentingan pekerja.

Pengumuman penggabungan membabitkan bank terbabit bukan sahaja mengejutkan NUBE, malah pada masa sama mendedahkan sikap tidak hormat RHB Bank terhadap pekerjanya.


Pengarang :