BERITA UTAMA NASIONAL

Gandingan Anwar-Mahathir terajui Pakatan Harapan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 JULAI: Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang menyaksikan gandingan dua tokoh berpengaruh, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar diumumkan sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, manakala Tun Mahathir dipilih selaku Pengerusi.

Keputusan itu diumumkan selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan bermesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, semalam.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula diletakkan selaku Presiden Pakatan Harapan.

Sementara Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu masing-masing memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden.

Dato’ Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula dipilih menjadi Naib Presiden Pakatan Harapan bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM), Chong Chieng Jen (DAP) dan Salahuddin Ayub (AMANAH).

Tugas selaku Ketua Setiausaha pula dipertanggungjawabkan kepada Datuk Saifuddin Abdullah, manakala M Kula Segaran bertindak selaku Bendahari Pakatan Harapan.

Menerusi kenyataan bersama, struktur baharu yang dipersetujui kini sebagai tanda kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik.

Dalam perkembangan sama, Pakatan Harapan memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

“Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

WhatsApp Image 2017-07-14 at 7.49.41 AM WhatsApp Image 2017-07-14 at 7.49.40 AM


Pengarang :