Selangorkini
PENDIDIKAN SELANGOR

Henti lakonan, lebih baik Rizal jadi jaguh 1MDB

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor dinasihat untuk menghentikan lakonan sebagai jaguh Universiti Selangor (UNISEL).

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ‘cybertrooper’ dan kuncu Umno yang didalangi Rizal juga rancak bermain isu penyelesaian pertikaian di antara UNISEL dan Jana Niaga.

Katanya, dakwaan palsu berasaskan fakta salah dan lemah itu bagaimanapun sudah dijawab Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI).

“Lebih menjengkelkan, Rizal bercakap seakan mewakili universiti itu sedangkan UNISEL sendiri memutuskan di peringkat lembaga pengarah untuk terus berbincang dengan semua pihak berkepentingan.

nik-nazmi“Pada masa ini, UNISEL dan Jana Niaga sudah tidak ada hubungan kontrak,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Rizal mencabar Kerajaan Negeri menjelaskan dakwaan kononnya terdapat salah laku berhubung bayaran kepada Jana Niaga serta menuntut MBI mengemukakan bukti proses timbang tara.

Nik Nazmi berkata, UNISEL kini semakin kukuh sama ada daripada segi kewangan termasuk kenaikan gaji kakitangan, insfrastruktur ditambah baik menerusi dana Kerajaan Negeri dan kualiti universiti yang sentiasa dinaik taraf dari masa ke masa.

“Jika betul dia mahu jadi jaguh, jawablah berkenaan 1MDB, FELDA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, KWAP dan pelbagai isu lain.

“Berjuta orang terkesan dengan setiap skandal yang terpalit dengan bos beliau, Najib Razak dan Rosmah Mansor. Walaupun bukti sudah jelas dibentangkan dengan pelbagai tindakan diambil di negara lain di dalam kes 1MDB tetapi mereka masih berdiam,” katanya.


Pengarang :