NASIONAL

Hishamuddin kini ejen sulit Najib?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: DAP mempersoalkan bidang tugas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein selaku Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri yang sehingga kini tidak pernah dijelaskan kepada umum.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata, persoalan itu timbul kerana peranannya didakwa begitu sulit dan tidak boleh diperjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa masalah dihadapi Najib sehingga tugas dan tanggungjawab Hishamuddin selaku Menteri Tugas-Tugas Khas tidak boleh diterangkan secara terbuka?

Tanjung_MP_Ng_Wei_Aik“Adakah beliau kini merupakan ‘ejen sulit’ (secret agent) bagi Najib hingga peranan sebenarnya perlu dirahsiakan?

“Jika pelantikan Hishamuddin sekadar untuk tujuan politik peribadi Najib, tidak perlulah wang rakyat dibazirkan begitu sahaja,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Terdahulu, Najib mengumumkan Hishamuddin dilantik memikul jawatan berkenaan pada 12 April lalu selain menjadi Menteri Pertahanan.

Wei Aik berkata, berdasarkan jawapan bertulis diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap soalan beliau kepada Dewan Rakyat menyatakan peranan Hishamuddin selaku Menteri Tugas-Tugas Khas adalah seperti mana dipertanggungjawabkan kepada beliau oleh Perdana Menteri dari semasa ke semasa selain sebagai Menteri Pertahanan.

Selain itu, berdasarkan semakan dengan warta-warta disiarkan berkenaan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang dibuat di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969, tiada sebarang warta dibuat berkenaan pelantikan Hishamuddin sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan tiada sebarang tugas, skop kerja, tanggungjawab dan bidang kuasa nyata diberikan.

“Warta terakhir berkenaan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan adalah bernombot P.U. (A) 228 yang dibuat Ketua Setiausaha Negara selaku Setiausaha Kabinet pada 23 Ogos 2016 berkenaan rombakan Kabinet yang dibuat 27 Jun 2016,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan adakah status pelantikan Hishamuddin melanggari Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 sehingga apa-apa keputusan dibuat atas kapasiti Menteri Tugas-Tugas Khas juga boleh turut dicabar.


Pengarang :