SELANGOR SUKANKINI

Jelajah London: #kapcaipackers jejak bumi Pakistan, terus jaya misi mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JULAI: Selepas tiga bulan, pasangan #kapcaipackers, Mohd Alfifshahrin Zakaria dan Diana Latief, kini menjejaki bumi Pakistan dalam usaha mereka melengkapkan misi jelajah ke kota London, sebelum September ini.

Dalam status media sosial Facebook Mohd Alfishahrin, pasangan suami isteri itu menjelaskan mereka ketika ini dalam perjalanan merentasi sempadan Pakistan dan Iran.

“Alhamdulillah sampai di Dalbadin, lagi 200 kilometer nak ke sempadan Iran. Menunggang di padang pasir dengan angin kuat serta cuaca sekitar 50°c …..rentung.

WhatsApp Image 2017-07-05 at 15.55.53“Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan kami,” catatnya.

Alfifsharin, 31, dan Diana, 30, yang menyambut 1 Syawal di Kedutaan Malaysia di Pakistan tidak lupa mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua termasuk ibu bapa dan mertua, penganjur, penyokong serta pihak berkaitan.

Sebelum sampai ke Pakistan, pasangan suami isteri yang memulakan siri jelajah pada 8 April lalu di Batu Caves dengan menaiki Honda RS 150R dengan sasaran menamatkannya dalam tempoh 120 hari sudah melalui beberapa negeri di Thailand, Nepal dan India.

Pengembaraan disifatkan ‘percutian bulan madu’ bagi pasangan pengantin baru itu adalah program sulung direncanakan merentasi 25 negara Asia antaranya Austria, Belgium, Perancis, England, Hungary sebelum berakhir di London.

Jelajah itu disempurnakan pelepasannya oleh Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Amirudin Shari, yang didukung sepenuhnya Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Selangor dan GIVI Motorcycle Accessories yang menaja kelengkapan peralatan mereka.

Sebagai tanda sokongan, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor boleh mengikuti perkembangan pengembaraan mereka di laman rasmi Facebook, PEMADAM SELANGOR atau menggunakan hashtag #kapcaipackers di laman sosial.


Pengarang :