Selangorkini
SUKANKINI

Jun Hoong raih emas di Kejohanan Akuatik Dunia

BUDAPEST 20 JULAI: Atlet terjun Malaysia, Cheong Jun Hoong meraih pingat emas pertama Malaysia dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest apabila memecah dominasi jagoan China dalam acara 10 meter platform wanita, awal pagi tadi.

Jun Hoong memenangi pingat emas itu selepas meraih 397.50 mata, menumpaskan juara Olimpik, Ren Qian yang sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa (391.95 mata), lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Pada kejohanan edisi 2015, Qian memenangi pingat perak acara itu.

Seorang lagi penerjun dari China, Si Yajie meraih pingat perak di belakang Malaysia dengan kutipan 396.00 mata.

“Oh Tuhan, saya juara dunia!” kata Jun Hong. “Saya mengharapkan pingat, tetapi saya tidak menjangka mampu mengalahkan penerjun China,” katanya yang masih tidak percaya dia kini bergelar juara dunia.

Si Yajie yang tewas kepada Jun Hoong dengan perbezaan 1.50 mata mengakui terkejut dengan kekalahannya kali ini.

Ini kerana, penerjun dari China sudah lama mendominasi acara itu di kejohanan dunia dengan memenangi 22 pingat, melebihi 16 daripada negara lain.

“Kemenangan Cheong (Jun Hong) agak mengejutkan saya, namun saya ucapkan tahniah kepadanya,” kata Si.

Dalam aksi pagi tadi, Kim Kuk Hyang dari Korea Utara, yang memenangi pingat emas pada 2015 sekadar menduduki tempat keempat dengan 388.55 mata.

=EZY=


Pengarang :