SELANGOR SUKANKINI

Kecederaan bahu serius paksa Safee Sali rehat panjang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Penyerang PKNS FC, Mohd Safee Mohd Sali terpaksa melupakan seketika saingan Liga Super dan Piala Malaysia kerana perlu berehat panjang untuk kembali pulih daripada cederaan bahu serius yang dialami ketika menentang Melaka United, pada 1 Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri PKNS FC melalui laman sosial rasmi mereka semalam yang menyaksikan Safee mengalami keretakan di bahagian tulang selangka atau ‘collar bone’.

Kecederaan bahu itu dialami ketika cuba melakukan sepakan gunting pada minit ke-73 permainan dan sebelum itu Safee berjaya menyempurnakan sepakan penalti buat Red Ants menyamakan kedudukan 1-1.

PKNS FC 2Dalam perkembangan sama, Astro Arena melaporkan Safee selamat menjalani pembedahan bahu itu, hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, akan memberikan fokus sepenuhnya untuk kembali pulih bagi membantu PKNS FC mengharungi baki saingan musim ini.

“Saya perlu mempersiapkan mental untuk menjalani proses pemulihan selepas ini supaya dapat kembali membantu PKNS mengharungi baki saingan liga.

“Kepada rakan sepasukan, teruskan berjuang dan kekalkan momentum serta fokus untuk menghadapi perlawanan sukar, selepas ini,” katanya.


Pengarang :