SELANGOR

Kehadiran pembangkang dalam mesyuarat PAC mengecewakan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kehadiran ahli jawatankuasa daripada pembangkang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Dewan Negeri Selangor (DNS) amat mengecewakan, pada sesi 2016.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata, hanya sekali kehadiran dicatatkan tahun lalu, manakala pada sesi 2017 belum ada kehadiran dicatatkan dua ahli jawatankuasa Barisan Nasional (BN).

Katanya, pembangkang perlu lebih bertanggungjawab dengan memainkan peranan dalam usaha membangunkan kesejahteraan penduduk di Selangor.

“11 kali PAC bermesyuarat pada 2016, Sungai Burung hanya hadir sekali sahaja dan Jeram kosong. Pada tahun ini, kita sudah bermesyuarat enam kali tetapi mereka belum hadir sekali pun.

“Mereka amat lesu sama seperti PAC Dewan Rakyat yang kerap digasak ahli parlimen tetapi di Selangor, PAC pula memainkan peranan pro aktif dan ahlinya yang lesu,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DNS Ke-13 Tahun 2017 di Dewan Annex, di sini, hari ini.


Pengarang :