Kejohanan Akuatik Dunia 2017: Pandelela-Jun sumbang gangsa | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Kejohanan Akuatik Dunia 2017: Pandelela-Jun sumbang gangsa

SHAH ALAM, 17 JULAI: Malaysia berjaya meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest menerusi acara 10m platform seirama.

Gandingan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mengumpul 328.74 mata pada hari ketiga kejohanan.

Pasangan pilihan dari China, Ren Qian dan Si Yajie meraih emas dengan 352.56 mata manakala pihak pingat perak menjadi milik pasangan Korea Utara, Kim Mi Rae dan Kim Kuk Hyang yang mengumpul 336.48 mata.


Pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik 2016 di Rio itu turut mempamerkan terjunan konsisten pada dua terjunan awal apabila mengumpul 106.80 mata untuk berada di ranking pertama sebelum gandingan China dan Korea bangkit untuk memintas pada terjunan ketiga.

Pada dua terjunan terakhir, pasangan negara mengutip 76.84 dan 76.80 mata untuk menghadiahkan pingat pertama buat kem Malaysia pada kejohanan dunia itu.

“Kami sangat gembira dan bersyukur kerana pingat gangsa ini adalah hasil daripada pengorbanan dan usaha gigih kami selama ini. Kami sangat bangga kerana dapat melakukan yang terbaik pada pusingan final.

“Kami berpuas hati dengan pencapaian ini. Selama ini, kami rasa bertuah kerana menjadi antara atlet terbaik dalam negara dan kami tidak akan berputus asa malah akan terus memperbaiki prestasi kami,”kata pasangan negara itu seperti dipetik dalam laman rasmi kejohanan dunia itu.

Esok, kedua-dua penerjun itu akan bersaing dalam acara 10m platform individu manakala penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri akan berganding dengan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama.

Pada Khamis ini, Nur Dhabitah dan Wendy Ng akan bersaing dalam acara individu 3m papan anjal. – Bernama

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next