Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan tiada duit, ‘hint’ tarif elektrik bakal naik tahun depan?

OLEH WILLIAM LEONG

Saya membaca kenyataan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan Pembangunan Industri dan Kawal Selia Pasaran Elektrik Suruhanjaya Tenaga, Ir Azhar Omar yang menyatakan bahawa rebat tarif elektrik yan dinikmati rakyat pada hari ini tidak akan berterusan selamanya.

Adakah kerajaan Umno BN sudah tiada wang lagi untuk memberi rebat kepada rakyat untuk dinikmati?

Tidak perlulah berkata sumber kewangan negara perlu digunakan untuk pembinaan hospital, jalan raya dan sebagainya. Duit kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digunakan untuk apa?

Setelah pelbagai cukai dan bayaran dikenakan kepada rakyat, apalah kiranya rebat tarif elektrik harus dikekalkan dan diberi untuk rakyat keseluruhan.

Saya pasti tarif dapat dikekalkan kerana kos bahan api dunia seperti gas berpaip, arang batu,gas asli cecair tidak menyaksikan kenaikan.

Yang menjadi persoalan, mengapa tarif elektrik tidak pernah turun apabila kos bahan api turun? Sepatutnya penjimatan apabila kos bahan api turun boleh disimpan untuk digunakan apabila harga bahan api naik.

Jika berlakunya pengurangan rebat tarif elektrik pada 2018, pengguna pasti akan menanggung akibat dengan keperluan untuk membayar lebih.

Semakan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia seterusnya adalah pada Januari 2018 selepas kerajaan bersetuju mengekalkan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWJ di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Sebagai contoh di Sabah pula, berbilion ringgit dana kerajaan pusat telah disalurkan bagi membiayai pelbagai projek pembinaan loji kuasa elektrik untuk memastikan bekalan efisyen, namun, rakyat negeri ini tetap berdepan gangguan elektrik saban hari.

Kerajaan Umno BN menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) tidak begitu optimis untuk mengurangkan kadar gangguan bekalan elektrik di sana.

Saya mencadangkan penubuhan satu ‘makmal khas’ bagi mengkaji masalah bagi menyelesaikan isu gangguan yang saban berlaku dalam waktu terdekat.

# William Leong adalah Ahli Parlimen Selayang


Pengarang :