Selangorkini
PBT SELANGOR

Kuala Langat dapat satu lagi Bas Smart Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kerajaan Negeri menambah sebuah lagi bas Smart Selangor di kawasan seliaan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) untuk kemudahan penduduk setempat.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, penambahan itu akan menjadikan Kuala Langat mempunyai empat Bas Smart Selangor termasuk sebuah gantian.

Katanya, penambahan itu adalah untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, sekali gus mengatasi kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada penduduk daerah ini, MDKL diberikan tambahan sebuah Bas Smart Selangor bagi kemudahan pengangkutan, sekali gus menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai alternatif pengurangan penggunaan kenderaan, di daerah ini.

zain mdkl“Menurut rekod sejak Mei 2016 sehingga Jun tahun ini, jumlah penumpang bagi perkhidmatan bas percuma mencatatkan peningkatan 266,249.

“Manakala dari Januari sehingga Jun lalu pula mencatatkan 156,957 penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Zain berkata, perkhidmatan bas percuma bermula dari jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam dengan kekerapan perjalanan selama 67 minit dan antara laluan baharu dilalui adalah seperti Banting–MDKL–Hospital Banting–IPD Kuala Langat–Taman Banting Baru yang berakhir di Hentian Banting.

Sementara itu, sembilan pondok menunggu bas sedia ada seperti di Jalan Kiambang 5, hadapan Sheng Leong Cycle, Hospital Banting, berdekatan IPD Kuala Langat, Taman Sri Putra, Sungai Raba, Kolej Matrikulasi Selangor dan Kampung Kathong turut akan memberikan kemudahan kepada pengguna.

Manakala tambahan tempat baru yang akan dilalui pula adalah di Pasaraya Econsave, Jalan Kiambang 5, IPD Kuala Langat, Pejabat Majlis Daerah Kuala Langat, hadapan Medan Selera Majlis, hadapan Taman Kemuning, kawasan Perniagaan Jalan Sungai Lang, hadapan Sheng Leong Cycle Trading, Hospital Banting, IPD Banting, Pawagam My Cinema, Masjid At-Taqwa, Taman Mulia dan Taman Seri Putra.

Selain itu adalah Persimpangan Jalan Serdang Belah, IKBN Kuala Langat, ILP Kuala Langat, Sekolah Kebangsaan Jugra, bulatan Taman Banting Baru, Sungai Raba, Kolej Matrikulasi Selangor, Kampung Kathong, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuarters TUDM, Kem TUDM, Sekolah Menengah Kebangsaan Jugra, ILP Kuala Langat, IKBN Kuala Langat, sebelum Persimpangan Jalan Serdang Belah, hadapan Restoran Madina Seafood dan Taman Mulia.


Pengarang :