PBT SELANGOR

MBPJ, Karcher Cleaning meterai MOU tingkat pembersihan awam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menandatangani memorandum persefahaman Program Rakan Strategik bersama Syarikat Karcher Cleaning System sebagai usaha meningkatkan lagi keberkesanan kerja pembersihan awam.

Dato’ Bandar MBPJ, Dato’Mohd Azizi Mohd Zain berkata, usahasama itu membolehkan anggota MBPJ mengendalikan kenderaan jenis ‘road sweeper’ secara terlatih daripada kakitangan syarikat berkenaan.

“Satu perbincangan diadakan bagi meningkatkan lagi tahap penggunaan ‘road sweeper’ untuk kerja pembersihan awam bersama Kacher Cleaning System iaitu pengilang bagi model MC 50 City Road Sweeper.

MBPJ“Melalui program rakan strategik ini, MBPJ akan menyediakan dua kakitangan dan sebuah ‘road sweeper’ bagi mengendalikan kenderaan ini menerusi latihan dan pemantauan oleh wakil syarikat itu.

“Program ini berjalan selama tempoh enam bulan membabitkan kawasan Pusat Bandar Damansara Utama, Komersial Damansaraya Jaya (Atria) dan Pusat Bandar SS2,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di Bilik Gerakan Ibu Pejabat MBPJ, pagi ini.

Terdahulu, Mohd Azizi memaklumkan MBPJ membeli seunit MC 50 City Road Sweeper (2016) yang digunakan bagi tujuan kutipan sampah, di bandar raya itu.

Mohd Azizi berkata, penggunaannya membolehkan tenaga kerja kakitangannya diminimakan bagi keperluan pungutan sampah, lewat malam.

“Perbincangan lanjut akan diadakan untuk mencari penyelesaian meningkatkan lagi tahap penggunaan kenderaan ini untuk kerja pembersihan awam bersama pihak syarikat ini.

“Diharapkan, keberkesanannya dapat menjadikan bandar raya Petaling Jaya lebih bersih sekali gus mampu menjadi PBT terbersih, di Selangor,” katanya.


Pengarang :