Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA belum terima cukai input GST RM13.8 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih belum menerima tuntutan bayaran balik Cukai Input berjumlah RM13.8 juta, bagi tempoh Julai 2016 hingga November 2016.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, sejumlah RM4.4 juta daripada jumlah itu ditolak Kastam DiRaja Malaysia (Kastam), pada Mei lalu.

“MBSA sudahpun berhubung dengan Kastam dan diminta untuk membuat penambahbaikan terhadap laporan tuntutan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

“Kami kini dalam proses tindakan penambahbaikan dan melantik perunding GST bertauliah bagi membantu MBSA menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada SelangorKini.

PBT SELANGORCukai Input merupakan cukai GST yang ditanggung ke atas pembelian atau perolehan barang dan perkhidmatan oleh pihak dikenakan cukai bagi tujuan membuat pembekalan bercukai dalam perjalanan atau penerusan perniagaan.

Semalam, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam mendakwa 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor menghantar penyata GST ‘diragui’ hingga menyebabkan pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah kesal dengan kenyataan itu dan menggesa Kastam mengguna kaedah lebih matang bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin turut berpandangan Kastam tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan ‘meragukan’ kerana dokumen dihantar mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, pemangku YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkarnain Che Ali berkata pihaknya akan berbincang dengan Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) untuk tindakan selanjutnya.

=EZY=


Pengarang :