Selangorkini
SELANGOR

Noh Omar punca kemelut PPR Lembah Subang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 19 JULAI : Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar dikaitkan sebagai punca berlakunya kemelut membabitkan isu Projek Perumahan Rakyat (PPR), Lembah Subang 1.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan Menteri Umno itu sengaja memutarbelitkan keadaan sebenar berhubung pertikaian penstrukturan semula milik kediaman perumahan itu.

Katanya, sepanjang tempoh Noh mengambil alih KPKT, isu berkenaan sengaja dipolittikan bagi mencemaar imej pentabdiran Kerajaan Negeri.

MB PEMBERITA“Tindakan Noh bermotifkan politik. Sejak 10 tahun lalu, Persekutuan bersetuju membenarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengurus lapan blok perumahan itu.

“Tetapi sejak Noh jadi menteri kenapa kemelut ini berlaku. Tidak seperti Menteri sebelumnya kerana ketika itu (Menteri) ada prinsip saling hormat menghormati.

“Sekarang sebaliknya berlaku apabila KPKT diketuai seorang penyangak yang tidak hormat dengan prinsip itu, maka saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Noh yang mendedahkan MBPJ mengarahkan KPKT mengosongkan ruang pejabat didirikan kementerian itu di premis berkenaan sejak awal tahun lalu.

Terdahulu, Noh memaklumkan KPKT menerima notis arahan pengosongan bangunan bertarikh 17 Julai lalu daripada Kerajaan Negeri dan MBPJ.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, pendirian tegas itu dibuat selepas mengambil kira kegagalan KPKT mengosongkan premis terbabit walaupun amaran awal mengenainya sudah dikeluarkan.

NOH PPR“Kenapa Noh berlagak samseng dengan membuka pejabat di situ tanpa kebenaran MBPJ? Ini satu tindakan menteri yang tidak beretika dan melanggar persetujuan dibuat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Ia tidak pernah berlaku di kementerian lain dengan tindakan menteri yang biadab seperti Noh dan Kerajaan Negeri mesti bertindak tegas.

“Apa pun yang berlaku dan siapa yang bertangungjawab menguruskan bangunan itu sebab kita masih dalam tempoh rundingan,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri bersama Agensi Agama Islam Selangor di Bangunan Sultan Idris, petang ini.


Pengarang :