SELANGOR

PBT & agensi disaran giat laksana penuaian air hujan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 JULAI: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain digesa untuk meneliti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) untuk diterjemahkan dalam perancangan dan reka bentuk bangunan kediaman, industri dan landskap.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, melalui kaedah itu, PBT akan dapat melaksanakan lebih banyak pembangunan yang menepati indeks penarafan hijau seperti ‘Green Building Indeks (GBI).

Katanya, pemaju turut disarankan menggunakan peralatan berinovasi untuk menjimatkan air seperti ‘dual-flush toilet’ serta kemudahan sensor dan pemasa untuk penggunaan air.

“Usaha untuk memanfaatkan air hujan sebagai sumber bekalan air alternatif termasuk kaedah SPAH perlu diteliti.

MB Jimat Air1“Melalui kaedah ini, kita dapat menggalakkan penggunaan semula air hujan untuk bukan tujuan minuman seperti kegunaan tandas, mencuci lantai, menyiram pokok bunga dan kerja-kerja pembersihan am,” katanya di Majlis Pelancaran Program Jimat Air, di Pangsapuri Pelangi Court, di sini.

Mohamed Azmin turut memberi contoh kaedah itu dipelopori sendiri oleh Kerajaan Negeri yang melaksanakan sistem SPAH bagi kegunaan tandas di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, semua pihak juga perlu mengambil contoh dilaksanakan Singapore’s National Water Agency (PUB), agensi air kebangsaan Singapura yang menguruskan sistem bekalan air Singapura, tadahan air dan air yang digunakan secara bersepadu.

“Dengan visi Water for All : Conserve, Value, Enjoy, PUB berperanan memastikan bekalan air yang pelbagai dan mampan untuk Singapura serta melaksanakan program advokasi kepada masyarakat untuk memulihara air, menjaga tadahan air dan menikmati sumber air yang mencukupi untuk semua.

“Ini termasuklah melaksanakan program Skim Pelabelan Penjimatan Air Mandatori (Mandatory Water Efficiency Labelling Scheme, MWELS) yang menilai daya penjimatan air sesuatu produk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin komitmen dan usaha Air Selangor yang berterusan memberi kesedaran dan pendidikan akan berjaya dilaksanakan.

“Saya juga yakin Air Selangor terus mengurus sumber air dengan baik dan menggunakan teknologi moden bagi memastikan kelestarian sistem dan perkhidmatan bekalan air mampan untuk kesejahteraan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

=EZY=


Pengarang :